Tuesday, 29 April 2014

Langkah mengatasi gejala vandalisma

Oleh sebab gejala ini membawa banyak kesan buruk, langkah mengatasinya mesti dilaksanakan secara berkesan. Antara usaha yang perlu dijalankan ialah:

1. Dapatkan khidmat kaunseling oleh individu yang bertauliah atau pakar psikologi.
Perkhidmatan kaunseling perlu diberikan kepada pelajar yang bermasalah. Dalam hal ini, guru memainkan peranan penting. Setiap guru, terutamanya guru kelas harus bijak mengenal pasti pelajar yang bermasalah dan harus mendalami masalah yang dihadapi oleh mereka. Kaunseling yang diberikan pada peringkat awal selalunya berkesan untuk membantu mereka. Golongan sebegini mesti dinasihati agar melepaskan ketegangan dan tekanan yang dihadapi secara positif. Sokongan moral daripada pelbagai pihak, seperti guru, rakan, ibu bapa dan ahli keluarga juga dapa membantu. Memandangkan masalah ini semakin berleluasa, adalah baik sekiranya setiap sekolah di negara ini menyediakan seorang guru kaunseling.

2. Peranan ibu bapa.
Ibu bapa merupakan orang yang paling rapat dengan anak-anak. Ibu bapa mestilah memainkan peranan yang sewajarnya, bukan sahaja menyediakan keperluan fizikal, tetapi juga memenuhi keperluan mental dan emosi mereka. Mereka harus diberikan kasih sayang yang secukupnya, dibesarkan dengan didikan agama dan diasuh dengan nilai moral yang baik. Ibu bapa juga harus bijak mengawal pergaulan anak-anak. Anak-anak boleh diberikan kebebasan keranan kongkongan juga akan menimbulkan tekanan. Walau bagaimanapun, kebebasan itu harus ada hadnya, terutamanya dalam hal pergaulan dengan rakan sebaya. Di samping itu, ibu bapa juga harus menjadi contoh terbaik kepada anak-anak. Jika ibu bapa dapat menjadi model terbaik kepada anak-anak, insya-Allah mereka tidak akan terjerumus ke lembah kehinaan.

3. Peranan masyarakat
Bagi mengurangkan penularan gejala vandalism, pihak yang berwajib perlu melaksanakan beberapa langkah seperti mengadakan pameran, taklimat, program, forum, seminar, ekspo tentang buruk padah dan negativitinya gejala vandalism atau segala gejala yang berkaitan dengannya. Dengan adanya usaha sebegini orang awam akan lebih peka dan berhati-hati serta prihatin akan masalah ini, juga sedikit sebanyak dapat membantu khususnya kepada golongan remaja untuk menghindarkan kegiatan ini daripada terus merebak dan bermaharajalela di negara ini.

Menangani jenayah buli

Buli ialah suatu perlakuan ganas oleh segolongan pelajar yang bermasalah. Buli boleh berlaku dalam bentuk fizikal, mental mahupun emosi yang pelakunya cuba menunjukkan kuasa kepada pelajar yang lemah.

Biasanya pelajar lelaki menunjukkan sifat membuli secara fizikal manakala pelajar perempuan cenderung untuk menunjukkan sifat membuli dengan perkataan, sindiran atau memulaukan seseorang.
Perkembangan terkini menunjukkan sikap suka membuli juga boleh terjadi melalui laman media sosial.
Melalui laman sosial, pelajar boleh menghantar mesej dengan pelbagai ugutan, tuduhan dan fitnah.
Bagaimanakah cara untuk menangani isu buli? Isu ini tidak boleh ditangani oleh individu secara berseorangan. Ibu bapa, guru atau pelajar sendiri perlu berpadu tenaga dan bekerjasama untuk membanteras kegiatan ini. Minggu ini dipaparkan beberapa tip bagaimana perkara ini dapat ditangani.

1. Pihak Pentadbir Sekolah dan Guru: Sedar dan Ambil Tindakan Segera

  • Pihak pentadbir khususnya guru besar/ pengetua dan guru-guru umumnya, harus peka mengenai masalah ini. Mereka harus mengetahui dan memahami konsep, faktor penyebab, tempat insiden buli dan aspek berkaitan isu buli.
  • Jika guru dapat mengesan kes buli berlaku di sekolah, perkara ini harus diambil berat dan diberikan perhatian serius. Jika kes ini berlaku di dalam kelas tempat guru itu sedang mengajar, guru perlu menghentikannya segera serta mengambil maklumat dan butiran. Buat laporan dan hantar laporan berkenaan kepada pihak pentadbir supaya insiden itu direkodkan dan diambil tindakan sewajarnya.
  • Tindakan segera perlu dilakukan pihak pentadbir berasaskan peraturan sedia ada.

2. Peranan Sekolah dan Ibu Bapa/ Penjaga

  • Guru, pelajar dan ibu bapa/ penjaga harus terlibat dalam kes berkaitan. Pelajar perlu ada kesedaran memberitahu guru atau ibu bapa tentang kewujudan masalah berkenaan.
  • Pelajar perlu dilatih dan diberi kemahiran mengenal pasti kes dan mampu membuat laporan kepada pihak bertanggungjawab.
  • Program Pembimbing Rakan Sebaya (PRS) merupakan konsep dan kaedah yang baik untuk dilaksanakan oleh semua sekolah. PRS akan menjadi mata dan telinga kepada pelajar yang menjadi mangsa buli.
  • PRS boleh diberikan tanggungjawab untuk mengenal pasti isu tersebut dan memberikan laporan kepada kaunselor sekolah untuk tindakan lanjut. Ahli PRS juga boleh memberi bantuan emosi awal kepada mangsa yang terlibat.
  • Ibu bapa harus diberi pendedahan terhadap tanda-tanda mangsa yang dibuli. Penerangan tentang bagaimana untuk memahami dan memberi sokongan emosi terhadap anak-anak mereka yang menjadi mangsa buli juga perlu diberi penekanan.

3. Peranan Pelajar

  • Semua pelajar perlu diberi pendedahan awal tentang isu yang berkaitan dengan buli. Pendedahan perlu diberi daripada aspek definisi, ciri-ciri mangsa, kesan, hukuman dan implikasi isu buli.
  • Pelajar digalakkan untuk menanamkan sikap proaktif terhadap isu buli di sekolah. Galakkan pelajar meluahkan perasaan melalui apresiasi seni, esei dan perbahasan tentang isu buli.
  • Pelajar yang berasa dirinya terancam boleh menulis permasalahan mereka dan hantar kepada kaunselor, guru bimbingan atau guru-guru yang mereka rasa selesa untuk mendengar atau membaca permasalahan mereka. 
  • Pelajar perlu mengelakkan diri daripada menyerang balas pembuli berkenaan seperti mengadu hal itu kepada orang luar yang tiada kaitan dengan sekolah. Perkara ini boleh mengundang bahaya yang lebih besar.
  • Pelajar yang berisiko untuk dibuli perlu mengelakkan diri daripada duduk secara bersendirian. Anda digalakkan untuk berada dalam kumpulan.
  • Pelajar perlu diberi kefahaman berkenaan buli yang berlaku dalam alam siber. Pelajar perlu mengehadkan aktiviti dalam laman sosial atau sekurang-kurangnya dapat memahami aspek buli melalui siber seterusnya mengelakkan diri daripada menjadi mangsa buli.